Antara nafkah dan hutang, yang mana perlu diutamakan?

Hutang
April 19, 2020
Oleh Nurulfatiha

BUKAN semua orang bernasib baik mempunyai kehidupan yang sempurna. Ada orang bergaji tinggi dan kehidupannya semua serba lengkap.

Segelintir orang pula hanya memperoleh gaji yang tidak seberapa. Dengan wang itulah terpaksa dia agihkan untuk perbelanjaan dirinya, keluarga dan juga hutang.

Jika kita berada dalam situasi kedua iaitu mempunyai pendapatan tidak seberapa, apakah yang patut didahulukan? Antara bayar hutang dengan nafkah, yang mana patut diutamakan?

Memandangkan kebanyakan kita banyak berhutang seperti kereta, rumah dan sebagainya, perlu fahami dahulu konsep hutang.

Dari segi bahasa, hutang (dayn) adalah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.

Dari segi istilah pula, ulama membahagikan hutang kepada dua jenis:

1. Umum: Iaitu hak atau tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban pada masa hadapan.

2. Khusus: Menurut jumhur ulama, ia adalah sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi, kerosakan harta benda, kecederaan ataupun untuk melunaskan hak-hak ALLAH seperti zakat.

Menurut istilah para fuqaha dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: "Hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan." (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121)

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 282 memerihalkan tentang konsep hutang antaranya ia perlu direkodkan dan selainnya.

Iklan

Pada masa sama, Islam turut menekankan perintah untuk melangsaikan hutang.

Hal ini jelas sepertimana yang berlaku ketika zaman Rasulullah SAW, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salmah bin al-Akwa’: “Bahawa Nabi Muhammad SAW dibawa kepadanya jenazah untuk baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka baginda SAW bersabda: "Adakah dia ini menanggung hutang?" Mereka menjawab: "Tidak." Lalu, baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian di datangkan jenazah yang lain, baginda bersabda: "Adakah dia ini menanggung hutang?" Mereka menjawab: "Ya." Nabi Muhammad SAW (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut), dan bersabda: “Solatlah kamu ke atas sahabat kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Nafkah dan hutang
NAFKAH merupakan tanggungjawab ketua keluarga dan hutang juga wajib dilunaskan.

Dalam perihal nafkah pula, ia merupakan suatu elemen yang penting dalam perkahwinan. Ia di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.

Dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha membahagikan kepada tiga golongan suami iaitu yang senang, sederhana dan susah.

Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, sediakan rumah mengikut kemampuan tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat perbahasan ini di dalam kitab al-Mu’tamad (4/283)

Sedarlah bahawa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri.

Namun, yakinlah bahawa ALLAH SWT tidak sesekali membebankan para suami apatah lagi menzalimi. Yakinlah bahawa setiap yang ALLAH syariatkan itu mempunyai hikmah yang besar.

Iklan

Justeru, hutang dan nafkah merupakan dua tanggungjawab yang perlu ditunaikan berdasarkan nas dan hujah di atas.

Seandainya kita dalam keadaan sangat terdesak, maka Islam telah pun menyediakan 'talian hayat' melalui sistem zakat yang senarai penerimanya merangkumi orang yang berhutang.

Begitu juga dengan nafkah, ia wajib dibayar kerana merupakan kewajipan suami mengikut kadar yang asas.

Mahu atau tidak, kita perlu belajar teknik menguruskan kewangan dalam meletakkan apa yang perlu didahulukan ketika dalam keadaan kemampuan seperti nafkah asas kepada isteri dan anak-anak.

Fiqh awlawiyyat adalah amat penting difahami dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik.

Barangkali urusan perbelanjaan keperluan dan hutang boleh dilangsaikan dengan serentak dengan kadar yang minimum jika tahu teknik pengurusan kewangan yang betul.

Kepada semua pembaca Sinar Plus, berbelanjalah secara berhemah dan rancang kewangan dengan baik serta mendahulukan perkara yang menjadi kewajipan kita.

Pada masa sama, jangan lupa amalkan juga doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Semoga ALLAH SWT memudahkan urusan kita dalam melayari kehidupan di dunia dan akhirat kelak.

(Sumber: Al-Kafi #1082: Bayar Hutang atau Bayar Nafkah, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

About Nurulfatiha

Biodata Penulis