NABI MUHAMMAD SAW ialah insan yang paling agung dalam kalangan insan yang pernah dilahirkan di muka bumi ini.

Masakan tidak, pendekatan sederhana dan seimbang yang dipelopori oleh baginda SAW telah menjadikan pola kehidupan masyarakat Madinah sebagai contoh terbaik untuk diteladani.

Malah, hasil daripada sikap kesederhanaan itulah telah membuka hati ramai penduduk Arab memeluk Islam.

Kebijaksanaan seperti itu amat diharapkan agar terus wujud dalam masyarakat Islam pada zaman milenial ini.

Dalam hal pengurusan, baginda SAW memiliki pelbagai jenis kelebihan, keunikan dan ciri khas yang sangat menonjol. Dari aspek kehidupan pula, Rasulullah SAW sentiasa di tempat paling unggul.

Tidak ada pemimpin di dunia ini yang apa sahaja yang ucapan atau bait perkataan yang terungkap dari bibirnya dan segala perbuatannya dibukukan hingga berjilid-jilid seperti baginda.

Hal itu sering disebut dalam Hadis al-Bukhari, Muslim, an-Nasai, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, al-Hakim, Ibnu Hibban, at-Tabarani, al-Baihaqi, Ibnu Asakir dan Imam Ahmad.

Jika diamati, tiada manusia di planet ini yang perilakunya sebaik Rasulullah SAW, baik dalam perihal ibadah, berdoa, berzikir, makan, minum, berpakaian, berkeluarga dan memimpin.

IKUTI sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Justeru, jadikanlah Rasulullah sebagai kayu ukur dalam segala hal khususnya dalam bidang kepemimpinan dan pengurusan.

Pengurusan seimbang

Menghuraikan mengenai aspek pengurusan, Rasulullah SAW telah mengaturnya dengan seimbang atau harmoni.

Umpamanya, walaupun dalam Perang Badar, pasukan baginda hanya berjumlah 300 orang dengan peralatan yang sederhana, namun mampu mengalahkan pasukan Quraisy yang jumlahnya tiga kali ganda lebih banyak malah lengkap dengan pelbagai peralatan perang yang canggih.

Ternyata Rasulullah SAW sangat memahami bahawa kekuatan sumber manusia adalah faktor paling penting dalam peperangan mahupun kerja.

Iklan

Disebabkan itulah baginda SAW lebih mengutamakan pembinaan perilaku peribadi daripada unsur-unsur pengurusan yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Hai Nabi, kobarkanlah semangat Mukmin untuk berperang jika ada 20 yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. Sekarang ALLAH telah meringankan kepadamu dan DIA telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antara 100 orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang kafir; dan jika di antaramu ada 1,000 orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan 2,000 orang, dengan seizin ALLAH. Dan ALLAH berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 65-66)

Berdasarkan ayat itu, jelaslah bahawa kualiti seorang yang sabar setanding dengan dua hingga 10 orang musuh. ALLAH SWT menyebutnya dengan jumlah yang banyak iaitu 20 hingga 100 orang.

Ia menunjukkan bahawa Islam sangat menekankan kerja secara berkumpulan, kerjasama atau tolong-menolong. Pasukan kerja yang hebat akan berjaya menyelesaikan pelbagai jenis tugas, tangunggjawab dan pekerjaannya dengan baik.

Bukan itu sahaja, cara pengurusan Rasulullah SAW juga adalah paling dinamik. Ia dapat dilihat apabila baginda menghadapi 1,001 permasalahan termasuklah masalah yang sukar sekalipun, semuanya mampu ditangani dengan baik.

Iklan
CONTOHI cara muamalat Rasulullah SAW. -Gambar hiasan

Begitu dinamiknya cara pengurusan Rasulullah SAW bermula daripada masalah keluarga, agama hinggalah kepada masalah negara.

Dalam peperangan misalnya, Rasulullah terlibat sebanyak 62 siri peperangan. Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kali peperangan dilakukan tanpa kehadiran baginda.

Selebihnya, sebanyak 27 kali peperangan dihadiri oleh Nabi Muhammad SAW secara langsung dengan sembilan kali baginda menjadi panglima perang.

Jika dihitung, tempoh Rasulullah SAW berada di Madinah adalah selama 10 tahun atau 120 bulan. Ini bererti bahawa setiap dua bulan sekali, Rasulullah terlibat dalam peperangan. Uniknya, Madinah tetap aman, stabil dan terkawal.

Mudah kata, pengurusan Rasulullah SAW adalah tidak rumit dan mudah. Ia juga tidak memberatkan dan tidak berlebihan. Ini kerana semuanya telah diukur dan diseragamkan sesuai dengan kapasiti dan kemampuan manusia.

Jadi, tatkala diri kita dihimpit apa jua masalah, maka ambillah penyelesaian berdasarkan pengurusan cara Rasulullah SAW.

Berbeza sungguh dengan pengurusan birokrasi pada hari ini yang kadangkala lebih banyak disukarkan daripada dipermudahkan.

Renungkanlah firman ALLAH ini: “ALLAH mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

ANDAI dihimpit dengan masalah atau ujian, contohi cara Rasulullah SAW menangani permasalahan berkenaan. -Gambar hiasan

Demikian roh dan inti pati cara Rasulullah iaitu dalam rangka memberikan kemudahan dan memberi khabar gembira kepada umatnya yang bersesuaian dengan fitrah manusia.

Oleh yang demikian, jadikanlah Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam setiap perkara yang dilakukan dalam meniti kehidupan di muka bumi yang fana ini.

***Artikel ditulis oleh Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru, Johor

Foto: Freepik