Riak, menunjuk-nunjuk semata-mata mahu meraih pujian manusia boleh membinasakan iman kita

November 12, 2021
Oleh Lynn Mazlina

AWAL Februari lalu, media sosial meledak dengan kewujudan sebuah halaman Facebook yang dinamakan Riak Apa Hari Ini? Seperti menongkah arus, pengendalinya membenarkan setiap pelayar memuat naik segala aktiviti dan gambar.

Selari dengan namanya, kebanyakan foto menunjukkan sisi kekayaan seseorang. Antaranya seperti barang kemas dengan kapsyen yang agak angkuh. Paling dikesali, perbualan di antara lelaki dan perempuan ajnabi berlangsung bebas tanpa batas agama.

Perkembangan itu sangat mengecewakan ramai sehingga agamawan terkenal negara, Asma' Harun menegur pengendali halaman berkenaan menerusi satu hantaran di platform Facebooknya.
Beliau antara lain berkata: "Mohon pengendali halaman tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan. Jangan indahkan perkataan keji, riak atas nama gurauan."

Namun, pandangan tersebut seperti dipandang sepi, sedangkan dalam Islam, perilaku riak atau meninggi diri adalah penyakit rohani yang sangat ditegah. Ini kerana hidup dan jiwa seseorang akan penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata.

 

Tidak ikhlas

Sinar Islam Plus kemudian berdiskusi lanjut dengan pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil mengenai sikap mazmumah tersebut.

Ujar beliau, riak merupakan satu sifat yang menyaksikan seseorang melakukan sesuatu perkara kebaikan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk ataupun mahu mendapat pujian orang sekeliling.

Dalam bahasa mudahnya, mereka melakukan 'kebaikan' tanpa niat yang ikhlas, sebaliknya hanya mahu mendapat sanjungan dan penghormatan dalam kalangan masyarakat agar diri sentiasa dipandang mulia.
Memperkukuhkan lagi kenyataannya, pendakwah itu kemudian memetik bait-bait kata Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari yang berbunyi: "Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu."

Jelas beliau, sifat berkenaan sangat tidak baik dan boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

"Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengapa segelintir manusia memiliki kecondongan bersikap meninggi diri, Mohamad Amiro Safwan atau Amiro menjelaskan sebab musababnya.

"Banyak faktor yang mendorong mereka suka berbuat demikian. Namun, alasan yang paling ketara adalah disebabkan harta yang melimpah," ujarnya menoktahkan kata.

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

 

Dalam hal tersebut, Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebut: "Kekayaan yang datang kepada seseorang, boleh mengubah akhlak yang pada awalnya baik menjadi sebaliknya. Jika kamu berjaya mengurus kekayaan dengan jalan yang diajarkan oleh ALLAH SWT, maka kekayaan akan menjadikan kamu lebih dekat kepada-NYA."

Iklan

Dalam pada itu, apa perbezaan di antara riak dan takabbur? Kata pendakwah itu, kedua-dua perkataan berkenaan memberi definisi yang berbeza.

Riak terang beliau, lebih menjurus kepada perbuatan iaitu seseorang insan menunjuk-nunjuk, menayang sesuatu yang mahal yang mana kebanyakan orang tidak mampu memilikinya.

Sementara takabbur lebih cenderung kepada perkataan. Kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang akan menggambarkan betapa angkuhnya percakapan yang dibutirkan.

Antara contoh ayat, 'aku tak solat pun, tapi hati aku baik, suka tolong orang.' atau 'tuhan pun tak panah aku dengan petir, kau yang sibuk-sikut ajak aku sembahyang dah kenapa, kuburkan lain-lain.'
"Dalam dunia yang fana ini, pertuturan itu sudah dianggap berlebihan. Apabila tiba pada hari pembalasan kelak, dialah juga orang yang paling sengsara.

Ia tidak akan seseorang melayari syurga ALLAH SWT yang mahal, tetapi menuju ke seburuk-buruk tempat yang penuh kehinaan," katanya yang mahu umat Islam segera mengubah tingkah laku jelek berkenaan jika sudah terlanjur melakukannya sebelum ini.

 

Tipu daya iblis

Sementara itu, pendakwah Hamizul Abdul Hamid berkata, riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia.

Iklan

"Ia juga boleh dikategorikan sebagai masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar. Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut. Golongan alim ulama pun cenderung untuk bersifat sebegini jika hatinya terpesong walaupun sesaat," katanya berterus terang.

Namun begitu, ujar Hamizul, iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

Firman ALLAH dalam Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40: "Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka."

Melihat kepada ayat suci berkenaan, agamawan berkenaan menjelaskan, menerapkan sifat ikhlas dalam diri adalah wajib.

"Namun, ikhlas mestilah bermula dengan ilmu dan diasah dalam kehidupan sehari-hari," katanya.

Hamizul yang juga Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah Lembaga Zakat Selangor menambah, kewujudan karakter riak boleh berlaku bergantung kepada keadaan dan kedudukan.

Tidak dinafikan lebih mudah bagi mereka yang diberikan sesuatu kelebihan atau mempunyai kedudukan tertentu untuk terpengaruh dengan sifat riak, katanya.

"Misalnya lelaki yang bersuara sedap, merdu dan lunak, lalu dia diangkat menjadi muazzin masjid. Apabila dia melaungkan azan, maka suaranya yang sedap itu menarik ramai orang dan menjadi buah mulut sehingga ramai orang yang memujinya.

Dari situ, timbul rasa bangga dalam diri sehingga terdetik di dalam hatinya mahu menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki. Akhirnya, setiap kali mahu azan, dia melaungkan azan dengan cara terbaik demi manusia. Inilah yang mencetuskan perasaan riak," ujarnya.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang dan peluang untuk muazzin tersebut memperbetulkan kembali niatnya.

"Lelaki itu kena segera beristighfar, luruskan kembali niat kerana ALLAH SWT. Kena ingat, amalan yang dibuat kerana manusia, tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA," ungkap beliau.

Dalam Surah al-Baiyyinah, ayat 5, ALLAH berfirman: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA."

Melanjutkan bicaranya, Hamizul turut menyentuh kedudukan seseorang yang dipertanggungjawabkan oleh masyarakat untuk menggalas jawatan pemimpin.

"Sebagai individu yang berjawatan, pasti mereka banyak melakukan kebaikan, antaranya membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, membaiki fasiliti awam serta lain-lain perkara lagi. Orang ramai pasti akan memuji tindak-tanduknya.

"Di sini akan terjatuh riak jika mereka gagal menata hati untuk lurus dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Bagi orang yang berilmu sekali pun, hakikatnya mereka tetap boleh berpelakuan riak jika tidak berhati-hati," kata beliau.

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *