SUDAH lebih setahun negara dibadai pandemik Covid-19 selepas kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Januari 2020.

Ketika gelombang pertama, ia membabitkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia. Gelombang kedua jangkitan berlaku penularan tempatan dengan kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Selepas beberapa bulan apabila jumlah jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula memperkenalkan PKP pelbagai peringkat PKP Bersyarat (PKPB), diikuti PKP Pemulihan (PKPP).

Namun akibat sedikit kealpaan sahaja, virus itu kembali mengganas untuk gelombang ketiga dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober 2020 lalu.

Apabila kes semakin meningkat tahun ini, kerajaan sekali lagi menetapkan PKP2.0 di enam buah negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak pada 13 Januari sehingga 14 April lalu.

Walaupun negara hari ini di bawah PKP3.0, tetapi kita berdepan saat getir apabila jumlah baharu jangkitan harian Covid-19 mencecah 4,000 kes.

Malah, prasarana pusat perubatan hari ini antaranya Hospital Sungai Buloh, Selangor juga tidak mampu menampung jumlah kematian akibat virus berbahaya itu.

Tambah kritikal, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pula memaklumkan situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 semakin mencabar. Kemasukan kini mendapati lebih ramai pesakit Covid-19 kategori tiga ke sana.

Iklan

Kategori tiga merupakan pesakit yang mengalami radang paru-paru, tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen.

Sementara itu, pesakit kategori satu mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala manakala kategori dua, pesakit memiliki gejala ringan.

Awas! PKRC Maeps 2.0 kritikal, pesakit Covid-19 kategori 3 semakin bertambah
Suasana 1 Syawal di Maeps.

Menerusi perkongsian di Facebook JKNS, pada awal Januari lalu, PKRC Maeps hanya mempunyai 60 katil untuk kategori tiga, namun setakat 16 Mei 2021 telah menempatkan 757 pesakit.

Menurutnya, JKNS bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19.

Iklan

Katanya lagi, susulan itu pesakit dengan kategori tiga ditempatkan di dewan berdekatan dengan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan. Bagi pesakit kategori satu dan dua yang stabil pula ditempatkan di Dewan DG.

Penambahbaikan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Justeru, KKM juga digesa agar membenarkan individu yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala menjalani kuarantin kendiri di rumah ekoran keadaan di pusat kuarantin terlalu sesak.

Terdahulu, bermula 24 Januari lalu, PKRC Maeps 2.0 telah mula beroperasi sebagai Hospital Bersepadu Maeps.

Baca juga Guna kontena simpan jenazah Covid-19. Hospital Sungai Buloh tak mampu menampung jumlah kematian

Hospital Bersepadu Maeps merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.

Sebelum ini, Hospital Bersepadu yang terletak di Dewan B menyediakan fasiliti yang sama di hospital lain seperti peralatan tekanan darah dan negative pressure tent dengan menempatkan 30 katil bagi kategori tiga dan empat manakala di luar dewan sebuah khemah untuk transit Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 10 katil.

Sumber : JKNS