Covid-19: Kuman tak akan merebak selagi tangan kita tak sentuh muka

May 24, 2021
Oleh Farah Eliani

SEJAK kebelakangan ini, kita dapat melihat wabak pandemik Covid-19 kian kembali mengganas dan sangat menakutkan lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian-varian baharu.

Setiap hari kes positif yang dicatatkan sangat membimbangkan. Sudah beberapa hari menjangkau angka empat digit.

Buktinya, semalam sahaja, Malaysia telah mencatat 6,976 kes. Hari ini tak tahu lagi berapa jumlah kesnya.

Jika diamati, data-data tersebut sangat menggusarkan semua orang dan tidak mustahil akan meningkat saban hari.

Pun demikian, apa yang pasti pematuhan kepada prosedur operasi standard yang disarankan seperti memakai pelitup muka dan menjaga jarak mampu memutuskan rantaiannya.

Namun, ada aspek penting yang perlu diberi perhatian terutamanya ketika berada di kawasan sesak dan memerlukan anda memakai pelitup muka.

Baru-baru ini, doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan melalui Facebooknya memberi saranan kepada orang ramai agar tidak menyentuh kawasan muka kerana ia boleh menjadi laluan kepada penularan virus Covid-19.

Bagi mengelakkan hal itu, beliau turut menggesa orang ramai agar sama sekali tidak memandang mudah aspek kebersihan tangan terutamanya selepas mendapatkan barangan keperluan asas di pasar raya atau kedai-kedai lain.

Iklan

"Ingat, jangan sesekali menyentuh muka atau betulkan pelitup muka selepas menyentuh barang-barang yang dibeli di pasar raya tersebut.

"Ia kerana kuman yang terdapat pada tangan itu sangat mudah merebak di kawasan berkenaan," jelasnya.

Pada masa sama, Dr Malar turut memberitahu kuman wabak pandemik itu yang berada pada tangan tidak akan memberi penyakit selagi ia tidak mendekati mana-mana laluan termasuk pada permukaan muka.

"Ada sesetengah orang, mereka sangat takut untuk duduk di atas kerusi atau bimbang menyentuh meja.

Iklan

"Sebenarnya, jika terkena dekat belakang badan mahupun bahu sekalipun, ia (kuman) masih kekal di situ. Lama-kelamaan ia akan mati," beritahunya lagi.

Oleh itu, pesan Dr Malar, selagi tidak mencuci tangan dengan bersih atau menggunakan cecair pembasmi kuman, jangan sesekali menyentuh permukaan muka masing-masing. Bahaya!

"Sebab itu saya juga memang tidak akan sentuh muka saya selagi tidak cuci tangan.

"Jadi, sangat penting informasi ini untuk disebarkan kepada orang ramai," tambah beliau lagi.

Baca juga: Jangan terima tetamu, seminggu sekali ke pasar, tip self lockdown KKM

Namun, jika kebarangkalian untuk menyentuh permukaan muka itu masih tinggi, nasihat Dr Malar, pakailah pelindung muka (face shield).

"Ingat, pastikan tangan dibasuh dengan bersih terlebih dahulu sebelum menyentuh permukaan muka tau!," katanya menerusi satu sesi live tersebut.

#kitajagakita