PERTAMA kali bertemu dengan influencer muda yang namanya sudah cukup masyhur dalam liga media sosial, membuatkan penulis kagum.

Masakan tidak, usianya baru mencecah 22 tahun, namun sudah mampu membina empayar perniagaan sendiri dan memiliki lebih 500,000 pengikut di platform Instagram.

Rangkaian kosmetik beliau, BeauTyra bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat lokal, malah jenama itu juga berjaya menakluk pasaran antarabangsa. Antaranya di Jepun, Korea Selatan dan Britain.
Meskipun BeauTyra baru tiga tahun menapak dalam industri kecantikan, namun ternyata pemiliknya, Tyra Kamaruzzaman sudah lama dikenali di dunia maya.

Ketika ditemui pada acara Constellation Kisses kerjasama BeauTyra dan influencer, Cupcake Aisyah di Kuala Lumpur baru-baru ini, wajah beliau tampak berseri-seri.

TYRA bekerjasama dengan Cupcake Aisyah menerusi produk kosmetik keluaran mereka, Constellation Kisses yang sesuai untuk pemakai tanpa mengira peringkat usia.

Katanya kepada penulis, dirinya mula berjinak-jinak dengan media sosial sekitar usia 14 tahun lagi.

Justeru, serangan ‘tentera bawang‘ sudah menjadi asam garam dalam hidupnya. Beliau juga sudah lali dengan pelbagai perspektif yang dilontarkan warganet. Tidak kiralah perkongsian itu sebaik manapun, jika tidak kena pada mata mereka, maka bermacam-macam kata-kata nista dihamburkan.

Disebabkan itu bagi Tyra, setiap kritikan apatah lagi kata-kata jahat yang dimomokkan kepadanya sudah dianggap alah bisa, tegal biasa.

Biarpun ditelan mati emak, diluah mati bapa, hakikatnya personaliti penuh elegan tersebut perlu hidup dalam keadaan sebegitu, sementelah dirinya juga sudah bergelar selebriti bisnes.

“Memang tidak dapat lari dengan perkara seperti ini. Orang ramai mempunyai banyak hal untuk bercakap tentang saya lebih-lebih lagi saya telah mula menggunakan Instagram sejak berusia 14 tahun.

“Segalanya saya ambil untuk dijadikan pedoman dan pelajaran yang mendewasakan diri. Kadangkala ada juga benda betul yang mereka kata. Saya anggap saja ia sebagai teguran untuk memperbaiki kekurangan selagi saya mampu.

“Saya juga tidak memandang serius setiap kata-kata buruk yang dilemparkan kerana percaya mereka juga tiada niat untuk berkata begitu. Jadi, ringkasnya setiap cakap-cakap tidak baik itu saya tolak tepi saja,“ tutur beliau lembut.
Petang itu, butir bicara kami memang banyak berkisar tentang implikasi media sosial yang mendominasi masyarakat pada hari ini.

JELITAWAN dan usahawan. Tyra optimis untuk kembangkan perniagaannya BeauTyra yang kini sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Selaku influencer berpengaruh, beritahu gadis jelita itu, perilaku terlalu beria berkongsi foto dan sedaya upaya mencipta kandungan dalam InstaStory dengan niat mahu dijadikan buah mulut orang, antara ciri negatif ketagihan media sosial.

“Perkara-perkara begitu sebenarnya akan membuatkan kita menjalani kehidupan yang tak menggembirakan. Lebih baik santai sahaja, tetapi ada masanya saya akan ‘detoks‘ daripada menggunakan media sosial sekitar tiga atau empat hari.

“Namun, tidak boleh terlalu lama ‘cuti‘ kerana saya perlu bekerja terutama mempromosikan produk BeauTyra,“ ujar beliau seraya tersenyum.

Matang

SEJAK usianya 18 tahun, Tyra sudah bijak menguruskan masa depan dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Meskipun masih mentah, beliau tetap yakin dengan keputusannya itu.

Tyra atau nama lengkapnya Athirah Kamaruzzaman cukup matang. Bayangkan pada usia belasan tahun lagi, beliau sudah memiliki minda bisnes.

Katanya kepada penulis, meskipun tidak mendapat pendidikan formal di institusi pendidikan tinggi mengenai perihal menguruskan perniagaan, dirinya sudah melangkah ke dalam dunia itu sejak berusia 18 tahun lagi.

Daripada desas-desus yang kami dengar, tempoh tiga tahun membina jenama BeauTyra dianggap mudah disebabkan label itu berada di bawah naungan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Benarkah khabar angin tersebut?

Iklan

Mendengarkannya, pernyataan nakal itu terus ditolak mentah-mentah oleh empunya badan.

Tyra menegaskan, telahan tersebut meleset sama sekali. Ironinya, beliau mempersiapkan diri dengan mempelajari sendiri setiap selok-belok bisnes sebelum berasa yakin dengan keputusannya untuk menjadi seorang usahawan.

“Apa yang saya boleh katakan, pada usia 18 tahun, saya telah mendalami ilmu perniagaan daripada individu yang mahir dalam bidang ini. Bermula dari aspek pembungkusan, pemasaran dan penghantaran kepada pengguna, segalanya dipelajari sendiri.

“Ya, pada awalnya agak susah kerana segalanya masih baharu kepada saya lebih-lebih lagi pada usia yang muda sebegitu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana jenama ini telah bertahan dan sudah pun mencapai usia tiga tahun.

“Saya tahu masih terlalu awal untuk diperkatakan, tetapi untuk tempoh dan keuntungan hingga mencecah tujuh angka, pada saya itu sudah memadai lebih-lebih lagi untuk jenama tempatan seperti ini,“ terang beliau dengan sepenuh keyakinan.

Melihat kepada momentum baik tersebut, Tyra memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan cabang perniagaannya dalam tempoh masa lima tahun dari sekarang.

Pada masa sama, influencer kelahiran Kuala Lumpur itu turut berhasrat untuk meluaskan pengaruhnya dalam pelbagai bidang lain juga.

Tatkala ditanya apakah cabang seterusnya yang akan diceburi, wanita bertubuh genit itu melepaskan ketawa kecil terlebih dulu.

Iklan

Walaupun ia bersifat di luar jangka, beliau berkecenderungan untuk melopori sektor makanan dan minuman.
Serentak dengan itu, Tyra memasang impian untuk melabur dalam syarikat tempatan bagi memacu tahap ekonomi anak Malaysia secara bersama.

“Meskipun sudah berada pada tahap ini, saya mengelak untuk menjadi individu yang sombong atau angkuh kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Sejujurnya saya tidak pernah rasa posisi saya tinggi berbanding lain.

“Insya-ALLAH selagi termampu, saya akan meneruskan perniagaan ini. Sekiranya bukan rezeki, saya akan melanjutkan pelajaran, namun alhamdulillah sehingga ke hari ini bisnes BeauTyra mampu diteruskan dan berjalan seperti biasa,“ terangnya yang beriltizam untuk menerokai bidang hartanah sama seperti bapanya jika menjengah ke alam universiti nanti.

Kylie Jenner Malaysia

DISEBABKAN usianya yang baru 22 tahun dan memiliki pengaruh serta jenama produk kosmetik sendiri, khalayak sering menggelarkan Tyra sebagai Kylie Jenner.

Apabila bertentang mata dengan wanita cantik yang digelar sebagai Kylie Jenner Malaysia, pastinya tidak dapat lari daripada terus melontarkan pertanyaan tentang cinta.

Seperti dapat mengagak persoalan yang bakal ditanya, beliau hanya mengukir senyuman.

Membiarkan sedikit masa berlalu, jelitawan tersebut kemudian bersuara. Ungkapnya, dirinya lebih bersungguh dalam memberi fokus kepada kerjaya, berbanding sibuk memikirkan soal cinta, apatah lagi soal berumah tangga.

Bukan sahaja tangga usia yang masih muda belia, gadis berkenaan berkata, perkahwinan tidak berada dalam carta penting buat masa sekarang.

Beliau juga secara tegas menafikan sedang mengikat ikatan kasih dengan sesiapa. Lebih senang bersendirian berbanding hidup berkasih-kasihan dengan pasangan, katanya dengan reaksi wajah yang comel.

“Sekarang saya tidak mempunyai masa untuk berfikir soal teman hidup, apa lagi untuk menjalin hubungan kerana apabila bercinta ada banyak hati yang perlu dijaga. Jadi, lebih baik sendiri.

“Bila usia 25 tahun ke atas mungkin ketika itu baru saya fikir soal pasangan dan seterusnya berkahwin,“ ujar anak bongsu daripada lima beradik itu yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Aazief Khalid yang merupakan anak tiri Siti Nurhaliza.

Ya, sudah resmi orang terkenal, segala gosip atau ‘bisikan‘ di alam maya mudah sangat singgah pada halwa telinga warga net termasuk dalam kalangan media.

Berkesempatan dengannya membuatkan penulis memberanikan diri melontarkan soalan kononnya beliau sukar didekati oleh lelaki disebabkan statusnya sebagai jutawan muda.

Sambil tertawa, dengan nada berseloroh wanita berketinggian 165 sentimeter berkata: “Tidak adalah sampai lelaki nak takut dengan saya. Rasanya tidak perlu kerana saya seorang yang biasa-biasa sahaja.

“Mungkin ada lelaki yang takut sebab tidak tahan dengan sifat saya yang suka sangat bercakap dan gila-gila.“

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram