Mereka yang puji kata saya boleh menyanyi itu, mungkin sekadar nak ambil hati - Che Ta

May 8, 2021
Oleh Wawann Mohd

UKUR baju di badan sendiri. Itulah pendirian dipegang pelakon popular Rozita Che Wan yang mengakui tidak pernah berhasrat untuk menceburi bidang nyanyian, meski berpeluang untuk berbuat demikian.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta, 48, dia enggan mengambil risiko melakukan sesuatu yang bukan dalam kemampuannya, sebaliknya mahu fokus kepada bidang lakonan.

Bagaimanapun baru-baru ini, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu membuat kejutan apabila berkongsi bakatnya dalam nyanyian menerusi penghasilan sebuah jingle untuk produk kecantikan yang diwakilinya iaitu Mylea.

Mengulas perkembangan tersebut, Che Ta berkata, pembabitannya itu bukan kerana mahu berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, tetapi sekadar memenuhi permintaan pengasas produk itu.

“Janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia hanyalah jingle dan bukan lagu komersial pun.

“Karya ciptaan DJ Fuzz yang berdurasi 30 saat dan berentak santai serta kedengaran seperti dangdut itu hanyalah untuk promosi produk berkenaan.

“Lagu itu dirakamkan pada 14 April lalu dan kini sudahpun dimainkan di corong radio,” katanya.

Iklan

Tambah Che Ta lagi, meski hanya jingle, dia mengakui tidak yakin, malah tidak sanggup menyanyi pada mulanya.

“Saya tak rasa ada vokal meletop macam penyanyi lain. Tapi disebabkan pengasas produk itu mahu saya menyanyi. Saya cabar diri.

“Saya tak anggap ia satu projek serius, jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu.

Iklan

“Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun.

“Mereka yang puji kata saya boleh menyanyi itu, mungkin sekadar nak ambil hati,” akuinya jujur.

Dalam perkembangan lain, Che Ta yang baru sahaja dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi berkata, dia bakal sibuk di lokasi untuk penggambaran filem Kiah Perkasam, terbitan Zeel Production dalam masa terdekat.

“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang pernah melonjakkan nama saya sebelum ini.

“Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem dan akhirnya ia direalisasikan ke bentuk filem pula.

“Selain saya, beberapa pelakon asal drama tersebut termasuk suami saya, Zain Saidin juga akan tampil dalam filem ini,” katanya yang bakal muncul dengan drama komedi Assalamualaikum Mustafa tidak lama lagi.

About Wawann Mohd

Biodata Penulis