RANGKAIAN lagu kanak-kanak klasik berjudul Medley Klasik Siti 2 nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, kini boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza, mulai 9 Mei lalu.

Medley Klasik Siti 2 terdiri daripada lagu Air Pasang Dalam, Lagu Tiga Kupang, Anak Odeng dan Kalau Rasa Gembira.

Lagu-lagu tersebut menjadi hafalan kanak-kanak generasi dahulu dan masih diperkenalkan sehingga kini.

Penghasilan muzik video lagu-lagu itu menyaksikan kerjasama antara Siti Nurhaliza dan Shopee. Siti sebelum ini menyertai Shopee Celebrity Squad Malaysia pada 2018, selain berkolaborasi menerusi konsert mini bersama Shopee pada 2019.

Menariknya, video muzik animasi arahan M. Husien itu turut menampilkan maskot Shopee, orang utan yang bernama Sean & Sophie.

Iklan

Jalan ceritanya pula mengisahkan pada tahun 2170 apabila bumi tidak lagi selamat untuk didiami.

Siti yang merupakan duta tempatan platform Shopee untuk kempen Ramadan dan Raya Bersama Shopee pada tahun ini berkata, penghasilan album kanak-kanak itu bertujuan untuk terus memperkenalkan karya-karya klasik kepada generasi hari ini dan akan datang.

Iklan

“Video muzik dalam bentuk animasi suka ditonton oleh kanak-kanak dan ini merupakan salah satu cara untuk saya memperkenalkan lagu kanak-kanak klasik kepada generasi kini.

“'Saya menghasilkan album ini sebagai khazanah muzik untuk generasi kini dan akan datang agar dapat menghargai karya terdahulu.

”Saya gembira kerana dapat menerbitkan album yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Lagu-lagu ini jugalah yang menjadi dendangan orang tua kita satu masa dahulu,” katanya.

(FOTO: Universal Music Malaysia)