PADA era yang serba canggih kini, peranan media sosial bukan setakat medium bersosial semata-mata. Seperti yang semua sudah ketahui, ia telah dijadikan platform utama kepada golongan profesional berkongsi informasi dan ilmu pengetahuan dalam bidang kepakaran masing-masing dengan masyarakat.

Jika pendekatan yang diketengahkan memiliki elemen tersendiri seperti lelucon yang mencuit hati atau maklumat yang penting dan selari dengan dengan situasi semasa, kelebihan itu pantas menarik perhatian warga maya.

Dengan sekelip mata, individu tersebut akan terus diangkat dan dijulang sebagai influencer yang boleh dipercayai. Segala kandungan yang dimuat naik akan dijadikan sumber utama, malah dijadikan bahan berita.

Dr Sandra Raman aktif kongsikan perihal tentang penjagaan kesihatan di sosial media.

Hal itulah yang terjadi kepada Dr Sandra Raman. Beliau antara sebilangan pakar perubatan yang selalu dijadikan rujukan sehingga diberi jolokan sebagai doktor selebriti.

Masakan tidak, kemunculannya di beberapa saluran televisyen sejak kebelakangan ini membuktikan dirinya bukan sahaja popular, malah diiktiraf antara pengamal perubatan yang bernas dalam menjawab pelbagai lontaran soalan berkenaan sesuatu topik kesihatan yang dibincangkan.

Tidak terhenti setakat di situ sahaja, memiliki rupa paras persis aktres Bollywood, Sonam Kapoor, ditambah dengan namanya yang kedengaran begitu komersial memberi nilai tambah kepada empunya diri.

Pakej lengkap itu sesungguhnya, sudah cukup membuatkan doktor berusia 33 tahun itu yang petah berbahasa Inggeris dan Melayu itu membina ‘empayar‘ peminatnya tersendiri.

Suntikan motivasi

Baru-baru ini, penulis berpeluang bersembang dengannya di corong telefon. Perbualan kami begitu harmoni. Gelak tawa dan kepetahannya jelas menggambarkan sisi keperibadiannya yang mesra dan lemah lembut.

Sebenarnya, terlalu banyak soalan yang ingin diajukan. Namun, inti perbualan kami dimulakan dengan ceritera bagaimana detik awal dirinya membulatkan hati untuk menceburi bidang perubatan.

Menghela nafas seketika, Dr Sandra secara berdikit-dikit membuka lembaran kisah. Ujar wanita itu, semuanya bermula selepas beliau sekeluarga berdepan detik cemas apabila bapanya dimaklumkan berada dalam kondisi kritikal akibat demam denggi. Berita pilu tersebut membikin emosi anak beranak itu gundah-gulana.

MENGGEMARKAN fesyen dan gaya yang santai serta bersahaja terutama ketika Dr Sandra Raman ingin bekerja di klinik miliknya.

“Ketika itu saya berusia 12 tahun. Saya melihat bagaimana keadaan ibu yang sangat risau dan fikirannya nampak bercelaru sebaik mengetahui tahap kesihatan ayah yang kian merosot.

“Kemudian, tampil seorang doktor yang memberi nasihat dan menenangkan kami. Kehadirannya benar-benar menyentuh hati dan membuatkan saya berazam untuk bergelar seorang doktor pada suatu hari nanti.

“Saya beriltizam, saya bukan hanya sekadar merawat, tetapi ingin mencontohi doktor yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi itu tadi dan berbuat baik serta merawat kepada sesiapa yang memerlukan,“ kata Dr Sandra yang kini berkhidmat di Klinik Mahsuri, Langkawi, Kedah.

Keazaman yang disulami dengan kesungguhan akhirnya menyaksikan anak kelahiran Kuala Lumpur tersebut bergelar pengamal perubatan. Seperti yang diikrarkan sejak usia belasan tahun lagi, tugasnya selain merawat pesakit yang demam, batuk, selesema, sakit saraf mahupun beberapa penyakit lain, beliau juga bertindak menjadi perantara dalam melerai kekusutan dan mententeramkan kerisauan pesakit.

“Saya bersyukur, impian saya sudah terlaksana. Namun, sejujurnya saya ingin menjadi seorang pakar perubatan kanak-kanak, namun hasrat tersebut tidak kesampaian dan puncanya biarlah saya sahaja yang tahu,“ ujarnya yang pernah bertugas di Unit Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Langkawi lapan tahun lalu.

Istimewa ‘Pulau Legenda‘

Plot wawancara kami selepas itu beralih kepada Pulau Langkawi pula.
Kepada penulis, Dr Sandra memberitahu, Langkawi amat sentimental dan istimewa pada dirinya. Berulang kali beliau mengulangi pujiannya itu.

Iklan

Kata pengamal perubatan itu, pemandangan di sana tidak sekadar indah pada pandangan mata, malah keramahan penduduk setempat menambat sanubarinya.

Hatinya bagai ‘dicuri‘ oleh pulau legenda itu sehinggakan beliau nekad untuk tidak pernah sekali berpindah, mahupun kembali semula ke negeri kelahirannya, Kuala Lumpur.

Mendengarkan penyataan itu, penulis sendiri bersetuju dengan beliau. Hidup di kota metropolitan yang dikelilingi dengan landskap hutan batu begitu menyesakkan dada, berbanding kehijauan alam semula di tanah tumpahnya darah Mahsuri.

“Penduduk di sini sangat ramah dan mudah mesra. Kami di sini hidup saling bantu membantu dan tiada unsur perkauman langsung. Kadar kes jenayah juga agak kurang dan paling menyeronokkan, apabila setiap hari dapat melancong,“ seloroh doktor cantik itu.

Dr Sandra Raman sangat disenangi oleh penduduk setempat dan mereka amat berpuas hati dengan rawatannya di klinik.

Seperti sebuah kisah klasik, beliau juga seringkali menerima pelbagai hadiah seperti buah-buahan, udang, ketam, sotong daripada penduduk setempat sebagai tanda hormat dan ucapan terima kasih daripada masyarakat setempat.
Seperti kata pepatah, orang berbudi kita berbahasa. Adakalanya kata Dr Sandra, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit yang hadir mendapatkan di kliniknya.

Nada keterujaan itu kemudian bertukar menjadi melankolik. Ujarnya, sebaik sahaja tiba musim cuti, persekitaran Pulau Langkawi termasuk kawasan inap desa selalunya akan tercemar dek pembuangan sampah merata-rata oleh pihak tertentu.

"Disebabkan itu, para penduduk terpaksa melakukan aktiviti pembersihan kawasan termasuk di pesisir pantai agar bersih kembali kerana ini adalah rumah kami,“ tuturnya.

Masih lagi berkisar tentang Langkawi, Dr Sandra terus berkongsi rasa. Ungkap graduan Universitas Udayana, Bali, Indonesia itu, beliau merentas pengalaman yang kurang menyeronokkan dalam menguruskan pesakit di kliniknya.
Tiada niatnya untuk mengeluh apatah lagi memburukkan sesiapa, namun apa yang diceritakan beliau itu agak menyentuh perasaan penulis.

Iklan

Mana tidak, mengabdikan diri sepenuhnya untuk merawat pesakit, pengorbanannya itu bagai dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak hanya kerana beliau menetap di sebuah pulau bernama Langkawi.

Mendefinisikan Langkawi sebagai ‘kampung‘, tindakan sesetengah pelancong yang seakan tidak mempercayai rawatan dan teknologi perubatan di rumah sakitnya, sesekali begitu menjentik nalurinya.

“Tidak kira sama ada pelancong tempatan, mahupun antarabangsa, kadang kala tingkah laku mereka serupa saja. Mereka akan datang dan terus memberitahu tentang masalah kesihatan, meminta ubat yang dinginkan dan pastikan mereka akan mendapat ubat antibiotik.

“Saya tidak mengatakan semua, tetapi ada juga antara mereka yang tidak hormat dan memandang rendah sistem rawatan Malaysia lebih-lebih lagi pelancong luar. Namun, saya tidak sesekali mengalah kerana sebagai doktor, saya perlu bersabar dan kekal positif dalam menangani segala cabaran,“ beritahunya dengan nada penuh kekesalan.

Memasak dan kecantikan

Bagi meredakan emosi Dr Sandra yang sedikit tercalar, penulis mewakili warganet bertanyakan tentang rahsia penjagaan kesihatannya. Ujar Dr Sandra, seperti individu lain, beliau juga melakukan senaman.
Caranya, pegawai perubatan itu akan ‘memanjakan‘ diri dengan berenang dan larian sawat injak (treadmill) di rumah dua kali seminggu.

Aktiviti kecergasan itu bukan sahaja baik untuk kesihatan, bahkan ia juga dapat membantu mengekalkan bentuk tubuh badan dan kekal langsing, katanya.

Penyediaan sajian sihat juga banyak membantu beliau untuk mendapatkan berat badan ideal, sekali gus mendidik dua anaknya agar tidak cerewat dalam soal pemilihan makanan.

DR Sandra Raman mengharapkan agar pelancong menjaga kebersihatan pantai dan tidak membuang sampah merata-rata tempat demi menjaga kelestarian Pulau Langkawi.

Melanjutkan bicara, Dr Sandra hanya melepaskan ketawa kecil apabila penulis memuji kecantikannya. Saat disebut bahawa kejelitaannya adalah kesempurnaan seorang wanita dengan kecantikan bersama kebijaksaan, beliau terus meluahkan rasa syukur.

Pun demikian, beliau memberitahu, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, anak sulung daripada tiga adik beradik itu tidak mengalami sebarang masalah kulit.

“Saya mula mengalaminya (masalah kulit wajah) kerana memakai pelitup muka terlalu lama ditambah dengan alahan.

“Melihat situasi tersebut, sebelum memakai pelitup muka, saya akan pasti akan membersihkan wajah, memakai serum dan pelembap pada waktu pagi dan petang,“ katanya yang melakukan rutin berkenaan secara teratur dan konsisten.

Adakah kesibukannya sebagai doktor menjadi penghalangnya untuk 'berpencak silat' di dapur? Dr Sandra berterus terang, sejujurnya beliau tidak pandai memasak dan mengemas rumah sewaktu zaman remajanya.

“Boleh dikatakan saya ini anak manja dalam keluarga. Namun, nak kata tiada langsung bakat memasak itu tidaklah kerana sebagai perempuan, sikit-sikit itu mungkin boleh.

“Bagaimanapun, senario itu berubah secara total selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Minat memasak itu semakin menjadi-jadi dan saya juga teruja untuk menyediakan makanan sihat untuk keluarga. Sejak kecil, anak-anak telah diajar agar mengamalkan pemakanan seimbang,“ ujarnya yang menjadikan ibunya, Ghandhimathi Krishnan sebagai sifu dalam menyediakan pelbagai hidangan dan bermacam jenis kek.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram