KETIKA dilahirkan, rupa dan fizikal Gideon J Joeplik sama seperti bayi normal yang lain. Tiada apa berbeza. Semuanya tampak sempurna dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Pun begitu, segalanya berubah tatkala pemuda berusia 35 tahun itu melangkahkan kaki ke sekolah rendah.

Familinya mula mengenal pasti 'kelainan' dimilikinya tidak sama seperti rakan-rakan sekelas. Hasil penelitian, rupa-rupanya anak ketiga daripada empat beradik tersebut didiagnosis sebagai orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam.

Justeru, enggan membiarkan anak kelahiran Sabah tersebut terkapai-kapai dalam bidang akademi dan ilmu pengurusan emosi serta amalan berdikari, maka pada usia 15 tahun Gideon dihantar ke sekolah pendidikan khas di Likas, Kota Kinabalu.

Menurut Terrance T Suilih, 40, adik iparnya itu belajar di sekolah khas berkenaan selama tujuh tahun.

gideon
TERRANCE (kanan) menyifatkan perkhidmatan membuang sampah RM1 sekurang-kurangnya dapat membantu Gideon memperoleh gaji harian.

"Di sana Gideon didedahkan dengan pelbagai ilmu termasuk cara menguruskan diri dan kerja-kerja tangan. Kami perhatikan beliau lebih cenderung mendalami bidang urutan refleksologi.

"Disebabkan itu, tamat saja belajar beliau tidak berpeluk tubuh, sebaliknya melakukan bermacam-macam kerja termasuk bekerja sebagai pencuci kereta. Bagaimanapun, langit tak selalunya cerah.

"Pekerjaan terbabit (cuci kereta) bertahan selama dua bulan sahaja. Gideon berasa sedih apabila terpaksa diberhentikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu," ujar Terrance kepada SinarPlus baru-baru ini.

Penulis difahamkan susulan masalah lembam yang dihadapi, Gideon juga tidak mampu berkomunikasi secara jelas dengan orang sekeliling. Oleh demikian, ahli keluarga khususnya Terrance sentiasa bertindak sebagai pengantara.

Iklan

Buang sampah
Meneruskan cerita, Terrance memberitahu jiwa Gideon semakin hari semakin gundah. Masakan tidak, penularan pandemik yang belum berkesudahan sedikit sebanyak membataskan pergerakan adik iparnya mencari pekerjaan baharu.

"Kebanyakan premis tidak mengambil staf baharu setakat ini. Situasi itu telah menyebabkan Gideon menemui jalan buntu mencari sumber pendapatan.

"Meskipun menetap bersama orang tuanya, tetapi beliau lebih selesa berdikari. Sehinggalah, pada satu ketika saya mendapat idea untuk membantu Gideon untuk memperoleh gaji harian sebanyak RM1," ujarnya.

gideon
SETIAP satu bakul sampah, Gideon akan mengenakan caj sebanyak RM1 sahaja. Kesungguhannya itu sangat dikagumi ramai.

Bicara beliau, kekerapan Gideon berkunjung ke rumahnya di blok berhampiran dan membantu membuang sampah di tempat pembuangan sampah di aras bawah telah mendorongnya mewujudkan perkhidmatan terbabit.

Iklan

Tambahan pula, sebahagian besar penduduk yang tinggal di aras atas tentunya tidak selalu turun ke bawah semata-mata untuk membuang sampah. Sekurang-kurangnya perkhidmatan sedemikian dapat membantu meringankan beban mereka.

gideon
GIGIH. Seawal pukul 5 pagi, Gideon (kiri) mula mengambil sampah para penghuni di Apartment Taman Putera Jaya, Telipok, Sabah.

"Selepas mendapat persetujuannya dan ahli keluarga lain, saya segera membuat hebahan menerusi laman sosial Facebook, Kelab Komuniti Taman Puterajaya Telipok dan aplikasi grup WhatsApp.

"Tak sangka, baru saja lima minit dikongsikan iklan ini (khidmat buang sampah RM1), saya menerima banyak respons daripada penduduk. Keesokan harinya, Gideon turun dan naik apartmen setinggi lima tingkat untuk ke unit penghuni yang memerlukan khidmat membuang sampah.

"Pada peringkat permulaan, Gideon melakukan khidmat membuang sampah bagi warga penduduk di Blok Seraya G, Apartment Taman Putera Jaya, Telipok. Caj dikenakan pada kadar RM1 bagi setiap bakul sampah. Kini perkhidmatannya telah meluas ke blok-blok lain," kata Terrance sambil memberitahu Gideon akan bekerja seawal pukul 5 pagi hingga 7 malam.

gideon buang sampah
Kecacatan tak halang Gideon turun, naik apartment angkut sisa buangan penduduk demi mencari rezeki.

Ditanya bagaimana penerimaan Gideon terhadap kerja baharunya itu, tutur Terrance, setakat ini pemuda tersebut bersyukur dengan hasil pendapatan yang diterima. Bahkan, sedikitpun tidak mengeluh apabila perlu turun dan naik berlainan blok.

"Biarpun seronok bekerja, namun kadangkala beliau berasa kondisi tubuh badannya tidak berapa baik. Ini kerana pada usia sembilan tahun, Gideon mengalami kecederaan patah tulang bahu akibat dilanggar.

"Bagaimanapun, beliau masih menjalankan tugas seperti biasa. Lebih mengujakan apabila ada penduduk yang bermurah hati membayar lebih daripada RM1.

"Jika rezekinya murah pada hari-hari tertentu beliau mampu mendapat RM50 sehari," jelasnya yang memberitahu Gideon juga gemar bermain Beyblade bersama kanak-kanak di kawasan kejiranan itu.

Foto IHSAN MAHA DAN FACEBOOK TERRANCE T SUILIH