PELAKON Emma Maembong mahu memanfaatkan sepenuhnya masa bersama keluarga ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Mengakui terlalu sibuk dengan urusan kerjaya seni sebelum ini, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 28, bersyukur kali ini mempunyai masa yang panjang untuk melakukan aktiviti bersama keluarga.

“Sepanjang tempoh PKP berlangsung, macam-macam aktiviti saya dapat buat bersama keluarga di rumah.

“Selain belajar memasak, saya juga berkesempatan untuk belajar agama dan perkara-perkara positif lainnya.

Iklan

“Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa di set penggambaran menyebabkan kadang-kala ketinggalan perkara penting yang berlaku seperti sambutan hari jadi ibu dan adik-beradik yang lain,” ujar Emma.

Emma yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang, Muhammad Shazli, pada 20 Februari lalu, turut mengambil kesempatan tersebut untuk meluangkan masa bersama suami.

Iklan

“Sebelum ini saya hanya cuti sehari sahaja untuk majlis nikah dan kemudiannya terus sambung kerja. Jadi inilah peluang terbaik untuk bersama orang tercinta,”uajrnya.

Pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan itu turut memohon orang ramai agar terus mematuhi arahan PKP dan berada di rumah.

“Buatlah apa-apa pun aktiviti rumah supaya tidak bosan. Kalau suka memasak atau main game, bolah lakukan aktiviti tersebut bersama keluarga sepanjang tempoh ini,” kata Emma.