SEBAHAGIAN daripada kita pasti pernah menonton IT, sebuah filem seram dari Amerika Syarikat arahan Andy Muschietti. Karya tersebut antara lain mengetengahkan seorang badut yang berwajah hodoh, memiliki gigi yang tajam, kejam lagi menakutkan.

Malah IT:Chapter 2 dikatakan memang tidak sesuai untuk ditonton remaja yang berumur di bawah 18 tahun gara-gara babak yang ditonjolkan terlalu menyeramkan dan sangat sensitif.

Dari satu sisi, terdapat badut yang memiliki personaliti yang sangat kontra berbanding dalam filem berkenaan.
Di Malaysia, biasanya kita 'dipersembahkan' dengan badut comel yang hadir memeriahkan suasana sambutan hari jadi, menghidupkan sesebuah program termasuk menghiburkan kanak-kanak di hospital. Mudah kata, mereka penuh dengan sifat kasih sayang, mudah mesra, kelakar dan sangat disayangi oleh kanak-kanak.

Pun demikian, terdapat sesetengah daripada kita tidak kira bayi, kanak-kanak, remaja waima warga emas tidak boleh berhadapan dengan badut yang periang, apalagi muncul dengan perwatakan yang mengerikan.
Bagi kelompok itu, rupa badut yang disolek tebal dan dioles dengan gincu merah hanyalah satu watak yang direka dan penuh kepalsuan.

Kehadiran mereka lebih mendatangkan kerunsingan daripada kegembiraan. Ekspresi statik mereka sungguh menjengkelkan bagi sesetengah orang. Persoalannya, adakah perasaan takut terhadap badut merupakan satu perilaku pelik? Adakah masalah itu boleh diatasi?

 

Baca juga: ‘Saya akan jadi panik, kaki saya kaku dan badan akan berpeluh-peluh’ -Nur Intan

 

Salah satu penyakit mental

Bagi menjawab pertanyaan tersebut, SinarPlus mewawancara Pakar Kesihatan Mental, Klinik Pakar Dr Yeoh dan Dr Hazli, Shah Alam, Selangor Dr Hazli Zakaria.

Beritahu Dr Hazli, dalam istilah perubatan, rasa ngeri terhadap badut dikenali sebagai coulrophobia, sejenis fobia yang jarang berlaku.

Meskipun dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (edisi ke-5) tidak menyatakan coulrophobia secara spesifik, namun rasa cuak terhadap karakter dalam kostum wujud dan ada digariskan dalam manual tersebut.
Jelas beliau lagi, coulrophobia merujuk kepada individu yang berasa sangat gementar atau melalui satu fasa ketakutan di luar jangka apabila melihat sesuatu benda atau berada dalam situasi tertentu.

“Sebagai contoh, mereka yang takut dan fobia dengan badut akan rasa terancam apabila berhadapan dengan 'watak buatan' itu,“ terangnya.

Kepada SinarPlus, pakar itu memberitahu, fobia terhadap badut merupakan salah satu penyakit mental.

BADUT kadangkala digambarkan sebagai karakter yang mengerikan dan menakutkan.

“Ya, ia tergolong dalam kumpulan penyakit itu. Sebenarnya, coulrophobia lebih tertumpu kepada faktor keresahan seseorang tanpa mengira jantina. Jadi, apabila mereka mula terperangkap dalam keadaan yang menakutkan itu, reaksi awalnya akan diterbitkan melalui beberapa simptom serangan panik.

“Antaranya seperti jantung bertukar laju dengan tiba-tiba, kepala berpusing, pernafasan menjadi tidak normal dan rasa seakan-akan sesak dada.

“Selain itu, tubuh mereka akan berpeluh, terasa mual, takut, ingin menangis atau menjerit dan rasa yang amat marah jika dipaksa berada di tempat yang sama dengan badut,“ ujarnya.
Untuk 'mengubati' perasaan seriau itu, memerlukan golongan tersebut mengawal diri dan bertenang, ungkap Dr Hazli.

“Dalam erti kata lain, mereka boleh mengelak berada dalam situasi tersebut dengan terus beredar dari lokasi berkenaan secepat mungkin,“ katanya.

Iklan

Rawatan psikoterapi

Menjawab tanda tanya mengapa seseorang memiliki coulrophobia terhadap badut, pakar berkenaan berkata, punca asal permasalahan tersebut sangat sukar untuk dirungkaikan.

“Namun, apa yang saya boleh katakan, mungkin sesetengah orang melihat badut adalah satu watak yang pelik dengan pentafsiran yang berbeza-beza.

“Bukan itu sahaja, ia juga barangkali berlaku disebabkan oleh kekeliruan iaitu sama ada individu itu takut kepada badut atau tidak suka kepada watak badut. Itu dua perkara yang berbeza,“ ungkapnya.

Adakah ketakutan terhadap 'makhluk' yang memakai mekap dan berkelakuan lucu boleh berterusan sehingga individu tersebut dewasa?

Jelas Dr Hazli, sekiranya kerja seharian mereka memerlukan karakter tersebut sentiasa bersama, sudah pasti kehidupan akan terganggu.

“Namun, ingin saya maklumkan, perasaan itu boleh dielak dengan menjauhkan diri daripada badut termasuklah melihat gambar, menonton filem atau menghadirkan diri daripada acara-acara yang melibatkan mereka.

“Kita perlu memahami bahawa fobia terhadap badut tidak seperti fobia untuk tidur. Coulphobia masih boleh dielakkan dan tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan penghidapnya,“ terang beliau.

TIDAK semua individu menggemari badut atau berasa tenang sekiranya berhampiran dengan mereka.

Namun demikian, seandainya kondisi ketakutan sudah mencapai tahap maksimum, pemeriksaan lanjut perlu dilaksanakan dengan bantuan pakar.

Iklan

Lazimnya, ujar Dr Hazli, pesakit akan diberi rawatan psikoterapi bagi membantu mereka memberi pendedahan secara beransur-ansur dengan objek yang ditakuti.

“Misalnya, mereka akan didedahkan dengan penceritaan mengenai badut, melihat gambar badut dan menonton filem mengenai badut, selain mempraktikkan teknik relaksasi yang bakal diajar agar dapat bantu melegakan simptom tekanan dan kegelisahan,“ katanya.

Kajian khusus

Di Malaysia, kajian khusus mengenai coulrophobia setakat ini tidak dilakukan. Namun, kumpulan yang kecut hati melihat badut memang ramai.

Di Amerika Syarikat, dapatan kajian yang dikongsi oleh Profesor Psikologi, California State University, Northridgem, Amerika Syarikat (AS), Joseph Durwin telah mendapat perhatian ramai.

Kata Durwin, golongan coulrophobia biasanya mempunyai dua pemikiran atau sebab mengapa mereka membenci badut.

“Salah satunya berdasarkan pengalaman buruk yang dialami tentang karakter berkenaan. Kedua, media massa dilihat telah menciptakan hype terhadap watak badut yang digambarkan sebagai menakutkan dan jahat. Ia secara automatik akan membuatkan individu coulrophobia sentiasa gementar melihat badut yang sarat dengan solekan,“ katanya.

Sementara itu, dalam satu penyelidikan berasingan di AS, 1.2 peratus individu yang takut kepada badut ialah pesakit kanak-kanak dengan 85 peratus daripadanya terdiri daripada budak perempuan.

“Kanak-kanak ini rasa takut walaupun memikirkan itu hanyalah lawatan 'mesra' badut,“ kata kajian tersebut.
BBC News pula melaporkan, satu tinjauan khas telah dilakukan ke atas 250 kanak-kanak dan remaja di hospital-hospital di Britain oleh penyelidik di University of Sheffield.

Output penyelidikan itu mendedahkan, kesemua responden berumur empat hingga 16 tahun menyatakan rasa meremang melihat badut yang disifatkan 'manusia pelik' dan tidak suka dengan penampilan mereka yang langsung 'tidak menggelikan hati'.

Dalam pada itu, filem IT yang ditayangkan pada tahun 2017 juga telah mendatangkan impak negatif kepada masyarakat Eropah, lapor Healthline.

Masakan tidak, dianggarkan hampir 7.92 juta orang Eropah mengalami fobia yang bukan sembarangan.
Penemuan menarik tersebut adalah daripada hasil Laporan Hipnoterapi Phobia Guru 2017 selepas filem IT dilancarkan.

Adam Cox yang dikenali sebagai pakar ahli fobia berkata, ekoran ledakan karya seni berkenaan, pihaknya menerima pertanyaan tentang rawatan hipnoterapi bagi mengatasi kemelut coulrophobia.

“Mengikut angka, sebanyak 12 peratus penduduk di United Kingdom yang mengalaminya (coulrophobia).

"Kami mendapati, melalui paparan di layar perak, badut itu telah diberi peranan sebagai pembunuh dan ia telah 'menjana' pemikiran buruk terhadap badut sehingga ia sangat ditakuti," katanya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram