Kuih seri muka muka bakar air tangan Rosni gerenti jadi, sedap dan mudah saja nak buat

Kuih seri muka bakar
November 28, 2021
Oleh Nurulfatiha

Oleh SITI FARAH ELIANI SOLLEH

JIKA sebelum ini, kita terbiasa menikmati kuih seri muka yang dikukus, tapi kali ini ia dibakar.

Kata pembikinnya yang juga seorang guru subjek Sains Rumah Tangga, Rosni Johari, pendekatan sebegitu sebenarnya menjadikan sajian itu lebih gurih.

"Rasanya memang lain daripada lain kerana bahagian atasnya telah dibakar menggunakan ketuhar. Kuih akan menjadi lebih garing dan aroma 'terbakarnya' yang membuatkannya lebih sedap," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Rosni berkata, idea menghasilkan kuih seri muka bakar itu dirintisnya sendiri.

"Lazimnya, ramai yang lebih mengenali seri muka biasa yang dikukus dan seri muka pulut sekaya (seri kaya).

"Namun, selepas rakan sejawat saya berkongsi ramuan untuk menghasilkan kuih seri muka bakar menggunakan gula merah, saya terus mengolah mengikut cara saya.

"Apa yang saya buat adalah menggantikan gula merah dengan jus pandan asli," beritahunya.

Iklan
ROSNI

Berkongsi tip menghasilkan kuih seri muka bakar yang elok dan kelihatan rapi, Rosni menitipkan petuanya: "Jika pembikin kuih menggunakan santan jenis parut yang diperah, pastikan proses itu menggunakan air suam kerana santan akan lebih tahan lama. Ingat, jangan sesekali pakai air paip.

"Selain itu, gunakan pulut susu berbanding pulut biasa. Ia akan membuat tekstur akhir kuih lebih menarik dan sangat cantik."

Pada masa sama, maklum Rosni, kuih seri muka bakar sememangnya menggunakan telur yang banyak. Jadi, bagaimana ingin mengelak bau hanyir telur?

"Rahsianya adalah saya gunakan ekstrak daun pandan asli berbanding pewarna. Ia bukan sahaja akan menyerlahkan lagi rona pada lapisan atas kuih seri muka bakar, malah itulah satu-satunya tip mencegah bau hanyir telur," katanya.

Beliau menambah, kuih seri muka juga terkenal di Singapura, namun penduduknya menamakan sajian itu sebagai Puteri Salat.

Iklan
Kuih seri muka bakar
KUIH seri muka bakar antara menu tradisional yang menggunakan dua kaedah masakan iaitu mengukus dan membakar.

RESIPI KUIH SERI MUKA BAKAR

Bahan-bahan lapisan bawah (pulut)

  • 2 cawan pulut
  • 1 kotak kecil santan kelapa
  • 1 cawan air
  • 1 1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan bahagian atas (lapisan hijau)

  • 1 kotak santan kecil
  • 1 cawan air pandan
  • 1/2 cawan gula
  • 4 sudu besar tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Cara penyediaan lapisan bawah:

  1. Campurkan kesemua bahan di dalam loyang dan kacau sebati.
  2. Kukus bahan-bahan tadi di dalam periuk pengukus selama 25 minit.
  3. Seusai itu, tekan pulut sehingga padat.

Cara penyediaan bahagian atas:

  1. Tuangkan kesemua bahan di atas pulut lalu proses mengukus diteruskan selama 35 minit sehingga masak.
  2. Selepas itu, angkat loyang yang diisi dengan kuih tadi dan masukkan pula ke dalam ketuhar dengan menggunakan api atas selama 10 minit pada suhu 180 darjah Celsius.
  3. Akhir sekali, sejukkan kuih seri muka bakar seketika sebelum dipotong. Enak dijadikan sajian minuman petang atau semasa majlis keraian.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *