KEMAHIRANNYA yang petah berbicara dan tidak kekok berada di hadapan kamera, membuatkan penonton berasa senang setiap kali melihat gelagatnya di ruang maya.

Boleh dikatakan setiap video yang dimuat naik di laman YouTube pasti disertakan dengan lelucon mencuit hati. Penampilannya juga begitu bersahaja. Seperti kata ramai orang, lagaknya itu tidak ubah seperti seorang personaliti profesional.

Walhal pemilik nama lengkap Siti Hawa Mohd Nor hanyalah merupakan seorang ahli farmasi yang hidupnya 'bergelumang' dengan ubat-ubatan dan pesakit di hospital.

Nama Hawa atau turut dikenali sebagai Siti Awe sebenarnya mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila empunya diri muncul sebagai tetamu dalam program ML Studios, satu platform infotainmen yang mengulas mengenai topik semasa dan dihoskan oleh individu yang mahir dalam satu-satu bidang.


Sejak itu, namanya meledak. Bukan sahaja komentarnya, malah loghat utara yang sentiasa diguna pakai mencuri tumpuan warganet yang sentiasa menanti ulasan bernas terbaharu daripadanya.

Kepada SinarPlus, Hawa berkongsi rasa. Katanya, selain bergelar ahli farmasi, beliau memang berkeinginan menambah satu lagi portfolio dalam dirinya iaitu menjadi seorang bintang media sosial (influencer) dan YouTuber.

Bukan mahu mengejar populariti apatah lagi mahu mendabik dada, beliau sebaliknya beriltizam mahu berkongsi ilmu terutama dalam bidang perubatan yang dipelajarinya sejak sekian lama.

“Media sosial merupakan medium terbaik untuk saya realisasikan matlamat itu,“ kata graduan Universiti Curtin, Australia yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi itu ketika ditemu bual menerusi corong telefon baru-baru ini.

Penangan Hawa bukan calang-calang. Setakat artikel ini ditulis, pengikut di platform Facebooknya berjumlah 114,000, Twitter (129,000), Instagram (419,000), manakala YouTube mencecah 165,000 pengikut dengan lebih 70 video dimuat naik. Pelbagai kupasan yang menghiburkan dan penuh informasi boleh ditonton.

Selain kandungan berbentuk ilmiah dan perubatan, sesekali Hawa menyajikan pelayarnya dengan video berkaitan tutorial teknik pemakaian tudung, pengalaman yang dilaluinya termasuk hal ehwal semasa yang dirasakan perlu dikongsi bersama.

Tangkis aura negatif

Sudah menjadi resam seorang influencer yang dikatakan liganya seiring dengan kelompok selebriti, Hawa juga tidak dapat lari daripada menerima kecaman dan kata-kata yang boleh merentap hatinya.

Sejak dikenali, setiap gerak-gerinya sentiasa diperhatikan seperti kamera litar tertutup yang tidak berhenti berfungsi 24 jam.

Warga maya yang ‘merakamnya‘ hanya menunggu masa untuk melepaskan bedilan kata-kata nista andai dirinya tersilap langkah.

Itu semua tidak ubah seperti jerangkap samar. Apabila kesalahan sudah dapat dikesan, maka bertubi-tubilah celaan diterima.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu berkata, beliau mengakui bahawa pada satu hari nanti, beliau bakal meredah situasi yang boleh menggoncang perasaannya.

“Sebenarnya, jauh dari sudut hati yang terdalam, saya tertanya-tanya bagaimana mereka ini boleh menaip kata-kata yang tidak enak didengar dan kemudian dibaca oleh ribuan orang.

“Pun demikian, lama-kelamaan saya mula berlapang dada dan menerima kritikan yang membina untuk muhasabah diri agar menjadi insan yang lebih baik. Segala (kritikan) yang tidak membina pula, saya anggap saja ia satu khilaf netizen. Saya tidak membaca atau memberi apa-apa respons pun,“ tuturnya.

Hawa begitu optimis dengan dunia maya. Ujarnya, beliau tidak pernah memandang serong, tetapi melihat internet sebagai satu kelebihan disebabkan ‘sifatnya‘ yang tiada batasan.

Justeru, kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu, lebih baik dirinya tidak ambil pusing apa saja fakta negatif yang ingin dilontarkan. Itu pendekatan yang sepatutnya dan demi menjaga kesihatan mental dan fizikal.

Iklan

Selaku individu yang dekat alam siber, penulis bertanyakan kepada beliau tentang perspektifnya mengenai berita-berita merapu dan tidak sahih yang bertebaran di media sosial.

Jawabnya: “Memang sukar untuk membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih memandangkan sesiapa sahaja boleh menyalurkan sebarang berita yang mereka mahukan tanpa menyelidik terlebih dulu.

“Jadi anda di luar sana perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat dan bersama-sama menyokong kempen, Tak Pasti, Jangan Kongsi.“

Portmeirion/Aktiviti lasak

Tinggalkan seketika jaringan internet yang melingkari hidup Hawa. Penulis ingin mengetahui tentang sisi lain dirinya yang jarang dikongsikan kepada umum.

Akui wanita itu, beliau seorang yang gemar membaca komik. Jangan tidak percaya, dalam diam beliau juga gemar menonton anime Jepun.

Sama seperti wanita-wanita lain, kecintaan Hawa juga cenderung ke arah dekorasi dalaman termasuk mengumpul koleksi pinggan mangkuk jenama Portmeirion.

Katanya, jenama itu menarik perhatiannya disebabkan variasi motif flora yang terdiri daripada Botanic Garden, Botanic Roses, Atrium mahupun Pomona menyerlahkan gaya Inggeris yang sebenar. Ia juga bersifat minimalis.

“Saya mula minat dengan semua itu (kumpul koleksi Portmeirion) sejak saya menetap di England setahun lalu,“ katanya.

Jiwa Hawa bukan hanya tertakluk kepada aktiviti-aktiviti bersifat kewanitaan sahaja. Jika pembaca SinarPlus mempunyai andaian sebegitu sebelum ini, telahan anda ternyata meleset.

Iklan

Akuinya, beliau seorang penggemar sukan lasak dan sentiasa mahu dirinya bergerak aktif. Tiada istilah berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja, katanya.

“Saya memang jenis lasak. Saya pernah menyertai aktiviti berakit meredah jeram, berkayak, mendaki gunung batu dan panjat air terjun termasuk melakukan terjunan udara.

“Terdapat dua sukan lasak yang masih menanti dalam senarai iaitu meluncur udara (paragliding) dan terjun bungy. Saya berharap suatu hari nanti saya dapat melakukannya,“ kongsinya dengan perasaan teruja dan turut mengakui bahawa dirinya seorang yang kompetitif.

Hawa sempat berkongsikan salah satu pengalamannya ketika melakukan terjun udara pada ketinggian 14,000 kaki sekitar tahun 2014.

Menggambarkan sahaja situasi itu sudah cukup membuatkan penulis berasa gayat, tetapi tidak buat Hawa yang semangatnya begitu meluap-luap.

“Saya berjaya membuat free fall selama seminit sambil menikmati pemandangan indah laut biru di Jurien Bay, Australia Barat yang memukau sebelum pengajar membuka payung terjun dan mendarat.

“Hal itu merupakan kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan sehinggakan setiap kali menonton video rakaman terjun udara itu, ia masih mampu membuatkan adrenalin saya bergerak kencang,“ ceritanya.

Bahagi masa

Kepada pembaca SinarPlus yang mengandaikan Hawa masih solo, fakta itu perlu diperbetulkan. Wanita fotogenik itu sudahpun dimiliki oleh kekasih yang juga belahan hatinya yang bernama Faiz Farhan.

Hawa dan Faiz melangsungkan perkahwinan dua tahun lalu. Pernikahan mereka menjadi tular seketika selepas ahli farmasi itu membuat pengakuan bahawa dirinya yang mengajak Faiz berkahwin, ibarat pepatah, perigi mencari timba.

Tanpa semena-mena, keikhlasannya itu telah membangkitkan pelbagai reaksi, namun beliau sedikit pun tidak terasa hati.

Katanya, fasa itu sudah dilupakan, sebaliknya fokus Hawa kini adalah bagaimana untuk mewujudkan keluarga yang mawaddah dan sakinah.

Beritahu beliau, kerjaya sebagai ahli farmasi memerlukannya memulakan tugas tepat jam 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat. Kadangkala bintang media sosial itu juga perlu bersiap siaga jika diperlukan pada bila-bila masa.

“Segala rakaman dan urusan kandungan media sosial saya hanya lakukan pada waktu hujung minggu saja atau selepas balik bekerja. Dalam hal ini, saya terpaksa mengorbankan masa rehat saya.

“Saya kena bijak merancang dan sediakan senarai kerja yang perlu dilakukan mengikut keperluan. Saya akan pastikan semuanya dilakukan dalam satu masa. Syukur sangat kerana apa yang saya lakukan mendapat sokongan daripada ahli keluarga,“ katanya ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara seorang ahli farmasi, influencer dan suri rumah tangga.

Sesungguhnya kata wanita itu lagi, beliau sangat beruntung kerana memiliki suami yang sangat memahami dengan kesibukannya sebagai petugas barisan hadapan.

“Faiz sentiasa ringan tulang untuk membantu saya dalam soal urusan rumah tangga. Saya akan memasak dan mengemas rumah, manakala suami pula akan uruskan bahagian membersih pakaian, jemur, lipat dan susun di dalam almari,“ katanya.

Sebelum menutup bicara, Hawa berharap segala intipati perkongsiannya menerusi semua platform media sosial memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Janjinya, beliau akan berterusan dan tanpa jemu menghasilkan kandungan yang bermutu dan memberi faedah kepada pelayarnya.