APABILA kita ditimpa sebarang penyakit, perkara yang utama yang akan diminta oleh doktor adalah mengamalkan gaya hidup sihat, tidak kira anda seorang yang masih muda bertenaga, waima golongan emas (namun, bergantung kepada tahap ketahanan diri)

Bercakap soal amalan yang boleh menyihatkan tubuh badan, terdapat sesetengah daripada kita gemar berjoging, berlari, berjalan dan ada yang lebih senang dengan melakukan senaman di gimnasium.

Ya, memang benar, semua aktiviti yang dinyatakan mengeluarkan peluh, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdasan.

Pun begitu, dalam melakukan sebarang senaman, kita perlu berhati-hati dan perlu meletakkan limitasi tertentu.

Ingat, tidak boleh berterusan bersenam dalam tempoh yang lama.

Mengulas lanjut mengenainya, SinarPlus memetik kenyataan yang diutarakan oleh Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Selangor, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Beritahu beliau, penyelidikan mendapati, individu yang berlari lebih 32 kilometer dalam seminggu atau dengan kecepatan rata-rata 12 kilometer sejam atau lebih akan cenderung mempunyai jangka hayat yang lebih pendek, berbanding mereka yang berlari lambat dalam jarak yang lebih pendek.

Baca juga Pertama di dunia, pakar bedah AS pindahkan jantung khinzir diubah suai genetik kepada pesakit manusia

“Bukan itu sahaja, kajian terhadap 10.9 juta pelari maraton mendedahkan bahawa 42 peserta daripada 59 orang meninggal dunia setelah mengalami serangan jantung, sama ada semasa berlari atau satu jam selepas larian mereka iaitu bersamaan satu daripada 259,000 kadar kematian peserta,” jelasnya sambil memberitahu, semasa Kongres Kardiovaskular Kanada Montreal, para doktor menyimpulkan bahawa senaman secara berkala boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Meneruskan bicaranya, Dr Arisman Wenge berkata, latihan ekstrem semasa berlari lama atau maraton boleh meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak tujuh kali ganda.

Terdapat beberapa sebab mengapa pelari maraton boleh mati mengejut disebabkan serangan jantung. Penyelidikan antara lain mendapati:

1. Peningkatan abnormal enzim troponin (enzim yang dihasilkan oleh dinding otot jantung bertujuan untuk mengawal fungsi kontraksi otot-otot jantung) yang timbul ketika jantung dalam keadaan tertekan dan tidak mendapat cukup darah.

2. Terjadi penumpukan asid laktik dalam darah semasa larian mencetuskan irama jantung yang tidak normal dan juga keletihan.

3. Dehidrasi (tidak cukup air).

Baca juga Rasa seperti tertidur satu jam, berikut kronologi kejadian remaja hilang 30 jam di Gua Musang

4. Suhu yang melampau meningkatkan risiko berlakunya serangan jantung.

Iklan

5. Masalah jantung yang tidak didiagnosis.

6. Mempunyai sebarang masalah jantung lain sebelumnya.

SUHU PANAS 

Dalam hantaran yang sama, Dr Arisman Wenge turut berkongsi kajian yang dilakukan pada simposium tahunan American College of Cardiology (2018) mengenai seseorang yang berlari pada waktu panas.

Ujar beliau, perubahan suhu panas yang melampau boleh memicu kepada serangan jantung.

Justeru, seseorang diminta untuk mengelakkan diri daripada berlari dalam cuaca panas yang melampau.

Beliau menambah, apa seseorang berlari, ia boleh meningkatkan degupan jantung 150 kali seminit, apatah lagi jika seseorang kurang minum air.

Iklan

"Hal sebegini memicu kepada ventricular tachycardia (jantung berdegup cepat) sehingga menyebabkan serangan jantung dan akhirnya jantung berhenti," katanya.

KETURUNAN 

Dr Arisman Wenge meneruskan penjelasannya. Ujar beliau, kajian juga menunjukkan faktor genetik menjadi sebab pelari muda yang sihat boleh mengalami masalah serangan jantung tanpa amaran atau gejala.

Pakar kardiologi Pusat Perubatan Universiti Baylor, Peter McCullough berkata, ketika seseorang berusia 20-an dan 30-an dan tiba-tiba meninggal semasa atau selepas berlari, penyebab yang paling biasa dijumpai ketika post-mortem adalah Hypertropic Obstructive Cardiomyopathy (HOC).

HOC merujuk kepada kondisi akibat penebalan bahagian dinding jantung sehingga otot jantung tidak mampu berkontraksi seperti normal untuk pumping darah.

Pegawai perubatan itu turut merujuk artikel yang diterbitkan oleh Forbes mengenai atlet yang meninggal dunia pada usia muda.

Forbes antara lain berkata: "Faktor lain yang menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup yang rendah pada pesakit di bawah usia 40 tahun adalah takikardia ventrikel sebelum terjadi serangan jantung."

"Maka, sekiranya kita memiliki sejarah keluarga yang ada penyakit jantung atau strok, kolesterol tinggi atau yang mati secara mendadak, saya sarankan agar segera dapatkan konsultasi doktor untuk dapatkan pemeriksaan penuh kesihatan," sarannya. #kitajagakita

Baca juga Terpisah 24 jam lari dari debu panas gunung berapi, isteri menangis lihat suami masih hidup

ANEKDOT

UJI kemampuan badan sama ada sesuai atau tidak melakukan larian jauh. Caranya adalah seperti berikut:

1. Dapatkan ujian darah kolesterol.

2. Kemudian periksa ECG untuk kenal pasti ada masalah pada irama jantung atau masalah lain yang boleh dideteksi dari ECG.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!

3. Jika pemeriksaan badan didapati ada bunyi jantung tidak normal atau 'murmur', maka pemeriksaan ECHO wajib untuk mereka dan beberapa ujian lain.

***ECHO (Ekokardiogram) dapat mengesan 75 peratus 'murmur' jantung yang boleh menyebabkan penyakit jantung dengan potensi untuk membunuh pelari tanpa amaran atau gejala.

Sumber DR ARISMAN WENGE ABDUL RAHMAN