APABILA bercakap soal penjagaan fizikal dan penampilan, hal sebegitu sering dikaitkan dengan golongan wanita. Namun, ironinya para lelaki turut memandang serius mengenai perihal tersebut.

Sufian Suhaimi yang merupakan salah seorang penyanyi terkenal negara antara yang turut tidak terkecuali.

Kata penyanyi berusia 30 tahun itu, beliau sememangnya mengamalkan pola makanan dan mempraktikkan amalan gaya hidup yang seimbang. Bukan sekadar untuk menjaga suara, malah sikap ambil berat tersebut demi mencegah diri daripada terkena sebarang penyakit berbahaya.

Sufian turut berkongsi definisi imej pada perspektifnya dan metodologi beliau dalam memastikan kesihatan jiwa tidak terganggu.

Sufian menumpukan sepenuh perhatian kepada anak angkatnya yang kini berusia empat tahun.

Kepada SinarPlus, penyanyi berkenaan turut menceritakan rutinnya yang sedikit berubah selepas memeliharan seorang anak angkat bernama Faeq Razeeq. Ikuti wawancara SinarPlus bersamanya baru-baru ini.

SINAR PLUS (SP): Sekitar tahun 2017, Sufian dilihat muncul dengan penampilan baharu dengan imej lelaki berjambang. Mengapakah anda membuat keputusan tersebut dan bagaimanakah rutin penjagaannya?

SUFIAN: Awalnya, tujuan saya berjambang kerana ingin mempunyai imej baharu yang lebih matang dan seiring dengan perkembangan usia.

Setelah itu, saya rasa selesa dan memutuskan untuk mengekalkan imej itu sehingga ke hari ini. Namun, semua itu memerlukan kerajinan, jika tak, mungkin boleh berubah wajah seperti Santa Claus (seloroh sambil tertawa).

Pada setiap tujuh atau lapan hari, saya akan memotong atau menipiskan jambang agar kelihatan lebih kemas dan rapi.

SP: Bagaimana anda menjaga kesihatan fizikal pula?

SUFIAN: Sekali atau dua kali seminggu saya akan meluangkan waktu untuk berenang, selain melakukan aktiviti kardio di rumah seperti tekan tubi. Sesekali jika ada waktu kelapangan, saya akan gimnasium, tetapi tak selalu.

Bagi saya, aktiviti berenang sudah cukup untuk menjaga stamina dan pada masa sama, ia juga sebahagian daripada olahraga.

Iklan

Soal pemakanan pula, saya tidak mengamalkan makanan berminyak. Bukan hanya menjaga suara agar tidak menjadi serak, tetapi pendekatan itu turut baik untuk kesihatan tubuh dan fungsi jantung.

Saya juga tidak mengambil memakan makanan pedas. Paling penting, saya akan minum air putih pada setiap hari.

SP: Sebagai selebriti, penampilan dan imej penting. Justeru, apa pendekatan yang anda ambil?

SUFIAN: Penjagaan wajah saya mudah. Saya tidak mempunyai banyak rutin khusus kerana saya mencuci muka seperti biasa selepas dan bangun dari tidur.

Sebelum tidur, biasanya saya akan memakai toner dan krim wajah agar dapat mengekalkan kelembapan.

Iklan

SP: Bagaimana pula dengan fesyen? Gaya yang bagaimanakah menjadi pilihan anda? Satu lagi, merujuk kepada hantaran dalam Instagram, mengapa anda cenderung mengenakan kemeja peluh atau sweat shirt?

Memakai sweat shirt antara gaya yang digemari oleh Sufian.

SUFIAN: Saya sebenarnya lebih selesa memilih gaya yang mudah dan santai. Tidak perlu mahal atau berjenama kerana yang penting saya berasa selesa dan yakin ketika memakainya selain mengikut stail semasa.

Berkenaan dengan sweat shirt pula, saya gemar memakainya kerana ia sesuai dengan aktiviti yang saya lakukan tidak mengira sama ada santai atau formal. Ini kerana sesekali saya akan berjumpa dengan individu untuk urusan nyanyian atau perniagaan. Jadi, gaya sebegini tidak menjadi masalah.

SP: Selain menjaga kesihatan fizikal, bagaimana pula cara anda menstabilkan emosi dan memelihara kesihatan mental?

SUFIAN SUHAIMI: Lazimnya, apa yang saya lakukan adalah berbual dengan rakan-rakan atau ahli keluarga terdekat. Saya menghubungi mereka untuk bertanya khabar dan bercerita.

Saya juga akan mengisi hari-hari saya dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti belajar memasak atau mempelajari kemahiran baharu.

Pada masa sama, saya jenis yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan senang menghabiskan masa dengan anak angkat, Faeq, 4.

Kehadiran Faeq membuatkan saya lebih matang, gembira dan tenang, meskipun dalam seminggu, saya hanya menjaganya sekitar dua hari saja. Pada saya, si kecil ini sudah memberikan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga buat saya.

SP: Bercerita tentang misi tahun 2022, apakah yang ingin dilakukan dan pengharapan anda?

SUFIAN: Saya mengharapkan keadaan kesihatan dan penularan Covid-19 akan pulih. Bagi kerjaya pula, saya akan terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak single baharu selepas Cinta Tak Bertepi.

Menyentuh soal perniagaan pula, saya menyasarkan untuk menghasilkan lebih banyak produk dan menjalinkan kerjasama dengan seorang artis popular tempatan bagi meluaskan lagi peluang perniagaan, Baby Pian.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI