APABILA kita membengkokkan pergelangan tangan dan tiba-tiba kelihatan benjolan keras seperti guli, pasti kita akan cuak, bukan?

Benjolan itu sebenarnya dipanggil ganglion cyst. Adakah ia berbahaya atau sebaliknya?

Menjawab persoalan itu, Pakar Ortopedik Hospital Kemaman, Terengganu, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed mempunyai penjelasan.

Ujarnya, ganglion cyst pada pergelangan tangan biasanya boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan tangan seseorang berasa kebas.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia tidak membahaya apatah lagi berisiko berubah menjadi kanser.

Memperincikan lebih lanjut, pakar itu berkata, ganglion cyst adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi.

Iklan

“70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu muncul daripada sendi scapholunate.

“Selebihnya pula berlaku pada bahagian permukaan depan (volar) daripada sendi radiocarpal dan scaphotrapezial.

Iklan

"Adakalanya ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan,” beritahu beliau menerusi video dimuat naik menerusi YouTubenya.

Beritahunya, kandungan benjolan tersebut adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan hyaluronic acid.

Mengenai simptomnya pula, ujar Dr Mahyuddin, kesan tekanan atau pressure effect akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu akan ketidakselesaan akibat kehadiran ganglion itu apabila mereka hendak melakukan aktiviti menggunakan tangan.


Kenapa ia terjadi? Ujar Dr Mahyuddin, ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan.

“Terdapat dua teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan sebenarnya masih kekal misteri,” kongsi beliau.

Apa-apapun nasihat Dr Mahyuddin, pesakit perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau terdapat kesan bengkak pada mana-mana anggota badan.

“Selain daripada ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti lipoma (ketumbuhan sel lemak), sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) ataupun abscess (nanah),” katanya.