MASYARAKAT Banjar yang berada di Malaysia nampaknya masih mengekalkan tradisi memasak makanan tradisional mereka tidak kira lauk-pauk mahupun kuih-muih.

Salah satunya merupakan sajian pemanis mulut unik yang dikenali sebagai wadai kipeng.

Salah seorang yang handal membikin menu itu, Hamizan Mukhtar berkata, penduduk Banjar yang rata-ratanya tinggal di daerah Kuala Kurau, Bagan Serai dan Parit Buntar, Perak antara yang masih menikmati makanan berkenaan tidak mengira masa termasuk pada majlis berbuka puasa.

Hamizan Mukhtar.

Terdahulu, Hamizan memberitahu SinarPlus, wadai sebenarnya bermaksud kuih dan kipeng pula sesuatu yang ditekan secara leper.

Untuk menyediakan sajian warisan silam yang berupa sejenis bubur itu kata wanita tersebut, tidak sesukar mana kerana bahan yang diperlukan tidak terlalu banyak.

"Hanya menggunakan tepung pulut, air garam dan air sejuk sahaja. Kemudian, semua bahan tersebut akan diuli bersama sehingga menjadi doh.

"Doh itu kemudian perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit dan dibentukkan menjadi bulat kemudian dipicit atau ditekan pada bahagian tengah," kata anak kelahiran Kuala Krau itu  yang mempelajari membuat makanan itu daripada ibunya, Saudah Said.

Buah nangka

Hamizan memberitahu, sememangnya masyarakat Banjar amat menggemari makanan yang berkuah pekat dan manis.

"Itu sebab wadai kipeng antara yang menjadi kesukaan. Namun, untuk tahap kemanisan pencuci mulut ini, ia bergantung kepada tahap manis yang disukai oleh empunya diri. Ada yang suka kuah yang sangat manis dan ada yang kurang manis," ujarnya.

Bagi menambah kelazatan sajian ketika dimakan, bekas pesara kerajaan itu berkata, sebaiknya wadai kipeng ditambah dengan hirisan buah-buahan.

"Saya cenderung menggunakan buah nangka, manakala ada juga adik beradik lain yang gemar memilih buah durian, terpulang kepada selera masing-masing," ujarnya.

Mengenai tip untuk membuat wadai kipeng yang sempurna, ujar Hamizan, beliau akan menggunakan air sejuk ketika mengadun bagi mengelak doh menjadi keras ketika diuli.

Iklan

"Doh wadai kipeng tidak boleh terlalu lembut kerana bentuk asalnya akan terjejas ketika dibiarkan masak di atas dapur nanti.

"Jika dimasak dengan betul, bubur berkenaan mampu bertahan hingga dua hari meskipun sajian itu menggunakan santan. Ya, untuk Ramadan ini memang saya akan memasak sajian enak ini untuk ahli keluarga saya,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

PROFIL

  • Nama: Hamizan Mukhtar
  • Umur: 57 tahun
  • Asal: Parit Abas, Kuala Kurau, Perak
  • Menetap: Bagan Serai, Perak

RESIPI WADAI KIPENG

Bahan-bahan A

Iklan
  • 500 gram tepung pulut
  • 2 sudu besar air kapur
  • Secubit garam
  • Air secukupnya

Bahan-bahan B

  • 500 gram gula melaka
  • 250 gram gula pasir
  • Air secukupnya

Bahan-bahan C

  • 500 gram santan
  • 2 helai daun pandan
  • Secubit garam

Cara penyediaan:

  1. Campurkan semua bahan A dan gaul sebati lalu dijadikan doh.
  2. Kemudian, gentelkan ia menjadi bulat (saiz sebiji guli) dan penyetkan sedikit ditengah-tengahnya.
  3. Campurkan bahan B dan bahan C dan tambahkan air mengikut kepekatan yang diinginkan.
  4. Masak sehingga mendidih dan masukkan bahan A seperti yang telah siap digentel tadi.
  5. Biarkan ia mendidih hingga bahan A timbul selama 10 minit.
  6. Sesuaikan rasa dan bubur wadai kipeng siap untuk dihidangkan.

Sumber: Hamizan Mukhtar

ANEKDOT

RESIPI BUBUR SUMSUM

 

Bahan-bahan A

  • 1 cawan tepung beras
  • 2 cawan santan
  • 1 cawan air
  • 2 sudu kecil garam halus

Bahan-bahan B

  • 300 gram gula melaka
  • 3 sudu besar gula pasir
  • 3 cawan air
  • 2 helai daun pandan

Cara penyedian:

  1. Satukan bahan A dalam periuk atau kuali.
  2. Masakkan di atas api sederhana kecil dan kacau sehingga likat dan berkilat.
  3. Matikan api dan angkat untuk dimasukkan ke dalam bekas-bekas kecil atau boleh juga masukkan ke dalam loyang.
  4. Biarkan adunan tadi ke dalam peti sejuk.
  5. Kemudian, campur semua bahan B, panaskan di atas api sederhana sehingga semuanya cair dan sebati untuk dijadikan kuahnya.
  6. Didihkan seketika, matikan api kemudian sejukkan.
  7. Bubur sumsum siap untuk dihidangkan.

Sumber: www.ceriasihat.com